Copy and paste this HTML code to your web page to use this counter: Sejarah Malaysia dan Asia STPM: Transformasi Masyarakat: Perubahan Pentadbiran

Monday, April 20, 2009

Transformasi Masyarakat: Perubahan Pentadbiran

Bincangkan perubahan pentadbiran  yang berlaku di Tanah Melayu antara tahun 1874 hingga tahun 1896.  

 

Sebelum tahun 1874, negeri-negeri Melayu mengamalkan sistem beraja di mana raja mempunyai kuasa ke atas negerinya.  Baginda dibantu oleh barisan pembesar daerah.  Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem Residen (1874) dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896).

 

          Sistem Residen mula diperkenalkan di negeri Perak pada tahun 1874 melalui Perjanjian Pangkor.  Sistem Residen kemudiannya diperluaskan ke negeri-negeri Melayu yang lain.  Sistem Residen merupakan sistem pemerintahan British secara tidak lansung.   Mengikut sistem ini, Sultan akan memerintah negerinya mengikut nasihat Residen British.  Sistem Residen dilaksanakan tanpa panduan daripada gabenor atau pihak British.  Residen memerintah mengikut budi bicara masing-masing.

 

          Residen mengugat kuasa Sultan dan pembesar Melayu.  Residen menguasai pentadbiran dan ini menyebabkan Sultan dan pembesar Melayu kehilangan kuasa kerana Residen yang menjalankan semua urusan pentadbiran negeri. 

 

          Residen menasihati Sultan dalam semua perkara pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adapt istiadat Melayu.  Akan tetapi, nasihat Residen mesti dipatuhi dan dilaksanakan.

 

          Residen  telah melampaui batas batas yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874.   Contohnya JWW Birch telah melarang amalan perhambaan.  Ini telah dianggap melampaui bidang kuasa mereka kerana bagi sultan dan pembesar, amalan perhambaan merupaka adapt turun-temurun dalam masyarakat Melayu tradisional.  Residen mengambil alih kuasa dan hak memungut cukai yang selama ini dijalankan oleh sultan dan pembesar Melayu.  Pemungutan cukai juga merupakan adat dalam masyarakat Melayu tradisional.  Pungutan cukai ini telah diambil alih oleh pegawai British iaitu Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil.

 

          Sistem Residen mempunyai kelemahan kerana setiap Residen tidak diberi panduan yang jelas untuk menjalankan tugas mereka.  Residen terlalu berkuasa di negeri-negeri Melayu.  Gabenor Negeri-negeri Selat tidak dapat mengawal kuasa Residen.  Pentadbiran setiap negeri juga tidak teratur dan seragam.  Pembangunan juga tidak seimbang.

 

          Kelemahan Sistem Residen menyebabkan negeri Perak, Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan akhirnya disatukan di bawah sebuah pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Persekutuan 1896.

 

          Persekutan yang ditubuhkan pada tahun 1896 kerana kelemahan sistem Residen.  Akibatnya setiap negeri berkembang mengikut dasar yang ditetapkan oleh Residen mereka.  Dengan adanya gabungan negeri Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam Persekutuan tersebut, diharapkan bahawa sistem perhubungan seperti jalan raya dan landasan kereta api antara negeri-negeri Melayu dapat dimajukan.

 

          Persekutuan juga akan dapat mengukuhkan kekuatan dan pertahanan ketenteraan.  Ini akan menjimatkan bayaran perkhidmatan pakar seperti jurutera, juruukur dan doctor. 

 

          Masalah kewangan Pahang merupakan salah satu sebab  pembentukan Persekutuan 1896.  British telah campur tangan di Pahang pada 1888 dengan tanggapan bahawa Pahang mempunyai potensi ekonomi yang baik.  Pada tahun 1890-an, Pahang mengalami masalah kewangan yang teruk.  Menjelang akhir tahun 1891, hutang Pahang dengan Negeri-negeri Selat adalah kira-kira $6 juta.  Malah ini diberatkan lagi dengan kebangkitan Pahang pada tahun 1890-1895.  Kerajaan Negeri-Negeri Selat tidak berupaya membantu Pahang lagi.  British dalam keadaan serba salah, sama ada mahu berundur dari Pahang ataupun cuba menyelesaikan masalah kewangan Pahang itu.  British sangat mementingkan imej dan maruah di mata dunia.  Sekiranya, British berundur dari Pahang, ini akan menjatuhkan maruahnya.

 

          C.P. Lucas telah mencadangkan pembentukan persekutuan untuk menyelesaikan masalah Pahang ini.  Diharapkan bahawa negeri yang kaya akan membantu negeri yang miskin.  Persekutuan juga akan dapat menyeragamkan sistem pentadbiran di negeri Perak, Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan.  Negeri-negeri Melayu dibentuk pada 1896, Raja Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan bersetuju menerima seorang pegawai British yang digelar Residen Jeneral.  Beliau bertanggungjawab kepada Gabernor Negeri-Negeri Selat yang digelar Persuruhjaya Tinggi.

 

          Raja-raja Melayu mesti mengikut nasihat Residen Jeneral dalam semua perkara kecuali yang menyentuh adat istiadat dan agama Islam.  Melalui Persekutuan 1896, kuasa pentadbiran dalam tangan Residen Jeneral.  Beliau berkuasa dalam semua urusan kewangan dan cukai eksport.

 

          Kerajaan Pusat telah membentuk banyak jabatan yang diketuai oleh pegawai British.  Ini telah menambahkan bilangan pegawai British.  Kuasa Sultan dalam Majlis Mesyuarat Negeri telah diambil alih oleh Residen Jeneral.  Sultan telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kuasa Residen Jeneral.  British telah menubuhkan Durbar untuk mengatasi masalah ini.  Dalam Durbar Kedua, Sultan Idris telah mengkritik pemusatan kuasa yangada dalam tangan Residen Jeneral.  Dengan ini, British telah memikirkan supaya pengagihan kuasa pusat dilaksanakan.

 

          Kesimpulannya, British menubuhkan Sistem Residen selepas Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.  Sultan Melayu di Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan telah kehilangan kuasa pada Residen British.  Malah apabila Negeri-negeri Melayu Bersekutu dibentuk pada tahun 1896, kuasa sultan semakin hilang.  Ini disebabkan kuasa mereka telah diambil alih oleh Residen Jeneral.